Kerjaya lakonan Mislina_Mustaffa

Kemunculan pertamanya di layar lebar adalah menerusi filem digitalBukak Api arahan Osman Ali dan disusuli karya Osman yang seterusnya, Malaikat Di Jendela sebuah filem pendek. Beliau banyak berlakon dalam filem-filem bebas ketika awal kemunculan yang mana kebanyakkannya berformat digital. Antara naskhah yang popular adalah Bernafas Dalam Lumpur arahan James Lee & Lampu Merah Hati (Monday Morning Glory) yang diterbitkan pada tahun 2005.

Puaka Tebing Biru, cereka pertama arahan Osman menjadi filem debut Mislina di layar lebar. Beliau diberi peranan dalam watak pembantu dan berganding bersama aktres popular Umie Aida. Seterusnya beliau muncul dalam filem arahan Liew Seng Tat berjudul Flower In The Pocket.

Hanya menerusi kemunculannya dalam filem Mukhsin arahan pengarah tersohor Allahyarham Yasmin Ahmad, nama Mislina mula meniti bibir peminat. Biarpun sering diberi peranan pembantu namun kemunculannya sentiasa mencuit perhatian. Mislina terus bekerjasama dengan Yasmin untuk filem terakhirnya berjudul Talentime. Lakonan Mislina dalam filem Mukhsin mendapat pujian pengkritik dan penontonan awam.

Pada tahun 2009 Mislina berpeluang bekerjasama dengan pengarah muda Chris Chong dalam filem Karaoke yang mana telah terpilih untuk ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Cannes. Mislina membawa watak Kak Ina, seorang ibu tunggal yang mengusahakan pusat karaoke di kawasan ladang kelapa sawit bersama anak lelakinya yang lama menghilang lakonan Zahiril Adzim. Lakonan Mislina dalam filem itu mendapat perhatian pengkritik dan dicalonkan di Festival Filem Malaysia ke-23 untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik (FFM). Pun begitu, biarpun disifatkan sebagai calon faveret, Mislina tewas kepada aktres jelita Lisa Surihani yang menonjolkan transisi lakonan berbeza dalam filem Lagenda Budak Setan.